Suatu Peristiwa Di Perang Uhud Abu Ubaidah bin Al-Jarrah

Peristiwa itu berlaku dalam peperangan Uhud apabila tentera Islam sedang bertempur dengan golongan Musyrikin yang tidak henti-henti menentang Islam.

Menurut satu riwayat, Abu Bakar berkata, ketika peperangan Uhud meletus, Rasulullah saw terkena panah. Dalam riwayat lain ada disebutkan dalam peperangan itu, Baginda terkena lemparan batu daripada pihak musuh.

Batu yang dilemparkan kepada Rasulullah itu terkena rantai pakaian perang (topi berantai besi) Baginda. Apabila terkena rantai itu, kepingan rantai yang patah itu tertusuk ke dalam rahang hingga dua gigi geraham Baginda tercabut. Ketika itu darah mengalir dari pipi Baginda dengan banyak.

Dalam suasana hiruk-pikuk peperangan itu, Abu Bakar berusaha mendekati Rasulullah, tetapi ketika itu ada seorang lain yang meluru dengan pantas seperti kilat ke arah Baginda.

Melihat ada orang yang berlari begitu pantas ke arah Rasulullah, ramai sahabat cemas dan bimbang kerana menyangka musuh Islam.

Bagaimanapun, akhirnya jelas didapati orang yang berlari kencang itu ialah Abu Ubaidah.

Sewaktu berada di sisi Rasulullah, Abu Ubaidah berkata: "Wahai Abu Bakar. Aku mohon dengan nama Allah agar engkau membiarkan aku mencabut besi yang tertusuk di pipi Rasulullah.”

Selepas dibenarkan berbuat demikian, Abu Ubaidah menggunakan dua gigi depannya untuk mencabut besi tajam yang tertusuk di pipi Rasulullah. Ini kerana ia tidak boleh ditarik keluar dengan tangan. Kalau menggunakan tangan, serpihan dan kepingan besi itu mungkin sukar dikeluarkan.

Riwayat ini adalah kisah yang sangat tragik mengenai perjuangan Rasulullah dan sahabat untuk menegakkan Islam.

Entah bagaimana Abu Ubaidah mendapat ilham yang dianugerahkan Allah kepadanya hingga dia mendekatkan mulutnya ke pipi Rasulullah untuk menggigit besi itu. Sejurus kemudian dia terus menariknya keluar.

Pada masa merapatkan mulutnya ke pipi Rasulullah itu, hidungnya tercium darah yang sedang mengalir pada pipi Baginda. Hal ini tidak sedikit pun menggusarkan Abu Ubaidah untuk melaksanakan tugasnya dengan penuh kewaspadaan.

Apabila serpihan besi itu tercabut keluar, dua gigi geraham Rasulullah turut tercabut bersamanya.

Sebenarnya, Abu Ubaidah bukan saja bimbang gigi geraham Baginda tercabut tetapi dia takut bahagian yang lain turut tercedera. Dengan cara tindakan yang bijak itu, Abu Ubaidah dapat menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih teruk lagi.

Melihat peristiwa yang berlaku di depannya itu, Abu Bakar berkata: "Aku dan Rasulullah amat terharu di atas kesetiaan dan pengorbanan Abu Ubaidah itu."Memanglah benar, kalau kita teliti riwayat berkenaan, kita akan dapati ada unsur kesetiaan dan pengorbanan yang amat tinggi daripada Abu Ubaidah terhadap Rasulullah.